Ada satu perkara yang suka aku kongsikan bersama rakan-rakan. Tentu saja tentang cinta.. cinta yang perlu ada pada perkiraanku selepas aku mencintai Allah dan Rasul-Nya.
Kasih yang aku kira perlu aku lempiaskan pada seseorang yang lain selepas ibubapa dan keluarga serta diriku sendiri...
Ya.. cinta pada manusia biasa yang namanya lelaki kerana aku diciptakan sebagai seorang perempuan...
Umur yang semakin berinjak jauh meninggalkan alam remaja dan sekarang di dalam fasa kedewasaan memungkinkan aku berfikir tentang urusan jodoh. Seringkali persoalan itu ditanya kepadaku oleh teman-teman sekuliah dahulu.
"Tak ada buah hati ke?"
"Takkanlah tak ada yang minat dengan perempuan pandai macam kau ni?"
"Kau ni jual mahal sangat kot?"
"Bergayalah sikit, bagi cantik, mesti nanti ada yang terpikat kat kau.."
"Aku sudah, kau bila lagi?"
Aduh... mahu melayan satu-persatu pertanyaan mereka memang tidak terjawab. Paling mudah untuk kukatakan ketika itu,
"Belum jodoh lagi.."
atau aku katakan pada mereka,
"Belum bersedia lagi.. .nanti dah ada calon, akan diberitahu kelak".
Titik.
Berbicara tentang cinta memang tidak akan pernah habis. Semasa di sekolah dahulu seringkali aku melihat pasangan yang kononnya sedang 'hangat bercinta' bertengkar atas perkara-perkara yang kecil.
Kadang-kadang aku ketawa sendirian apabila melihat adegan pujuk-memujuk persis lakonan di dalam filem Hindustan yang kutonton di televisyen. Bermacam-macam gaya yang ada apabila si lelaki cuba memujuk si wanita atau si wanita yang cuba memujuk si lelaki. Aku menggeleng-geleng kepala melihat gelagat mereka dalam tawa. Perkara yang padaku tidak wajar dilakukan apatah lagi pasangan itu masih belum punyai ikatan yang sah dan halal di sisi Islam sedangkan si wanita bertudung dan si lelaki bersongkok.
Aku pernah dilamar seorang lelaki pada perkiraanku dapat melengkapi kekurangan yang ada pada diriku. Tentu sahaja aku mencari seorang lelaki yang mudah tersenyum, tegas dalam kelembutan, lucu dan bisa membuatku gembira, dan yang paling penting dia seorang yang sangat menjaga solatnya dan ibadahnya. Cukup padaku itu dan aku telah bertemu dengannya. Tapi, seperti yang kukatakan sebelum ini, cerita ini tentang jodoh...
Arakian, aku dilamar aku menolak dengan lembut atas alasan kerana mahu menumpukan perhatian kepada pelajaran dan kuliah. Ini amanah yang kupegang sejak mula aku menjejakkan kaki ke menara gading. Aku tidak suka berpacaran kerana pada aku ianya tidak wajar.
Kukatakan pada lelaki itu, sekiranya benar dia menginginkan aku menjadi suri hatinya maka tunggulah sehingga aku dan dia selesai bergraduasi. Kukatakan juga bahawa aku tidak suka keluar berdua-duaan. Sekiranya seorang lelaki itu benar mahu memiliki hatiku maka dia perlu memahami bahawa dia perlu lebih serius untuk mengatur masa depannya berbanding berpeleseran tanpa hala tujuan yang jelas.
Hubungan yang dijalin tanpa ada matlamat yang jelas bukanlah satu perhubungan yang bersungguh-sungguh tetapi hubungan yang terang-terangan berlandaskan nafsu semata-mata.
Sekali lagi kukatakan di sini, ianya soal jodoh. Allah punya perancangan yang lebih menarik untukku, terserah padaku sahaja sama ada mahu mencari hikmah yang tersembunyi atau membiarkan diriku sendiri tertanya-tanya mengapa kesudahannya begini dan begitu...
Lelaki itu tidak sanggup menunggu lantas mengambil keputusan mencari yang lain...
Aku sedikit kecewa namun kubisikkan pada hati agar redha dengan ketentuan Ilahi. Dalam melayari kehidupan dan mehnah, aku belajar pelbagai perkara. Setiap hari aku belajar dan adakalanya mengajarkan sesuatu kepada yang lain.
Buat rakan-rakanku yang mungkin sedang mencari jodoh atau telah bertemu jodoh, aku doakan agar kalian memperoleh jodoh sepertimana yang diinginkan olehmu.
Ketahuilah bahawa Allah memberikan apa yang kita perlu dan bukan yang kita suka kerana mungkin saja sesuatu yang kita suka itu akan menjadi satu keburukan suatu hari nanti.
Pasangan kita moga terdiri daripada si dia yang 'melengkapkan' kekurangan yang ada pada diri masing-masing agar kita lebih mudah berjuang meraih cinta-Nya....
Menantikan kalimah cinta daripada insan yang dicinta... moga kami meraih cinta-Nya, amin.
0 kata-kata budak comel :):
Post a Comment